Wednesday, April 9, 2008

wahai para PEMUDA...!


Sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang beriman penuh dengan ajarannya, yang benar-benar jujur dalam usaha menegakkan hukum-hukumnya, yang mempunyai semangat yang semakin berkobar untuk mempertahankan kewujudannya dan di samping itu terdapat pula kemudahan persiapan yang boleh mendorong ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.

Keempat-empat rukun tersebut: KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'.

Kesimpulan ini ialah kerana asas KEIMANAN itu ialah hati yang suci murni; asas KEJUJURAN ialah sanubari yang jernih lagi hening; asas SEMANGAT ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap TINDAKAN ialah keazaman yang gagah dan tabah.

Itulah sebabnya maka angkatan PEMUDA sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pesaka bagi kebangkitan sesuatu umat. Ia juga merupakan rahsia hikmat bagi kegagahan dalam sesuatu kebangkitan, malah angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji untuk sesebuah fikrah perjuangan.

(Aiyuhasy Syabaab : as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Sunday, April 6, 2008

semangat AKHAWAT...


Alhamdulillah, USRAH AKHAWAT untuk isteri-isteri para ikhwan nampaknya telah istiqomah dapat dijalankan setiap 2 minggu sekali. Walaupun tidak sekerap USRAH IKHWAN (setiap minggu), rasanya tempoh tersebut sesuai untuk isteri-isteri kita saling bertemu; malah sebelumnya pun hanya sebulan sekali. Tahniah untuk para akhawat, naqibah & penyelarasnya...!

Kepada para ikhwan juga diharap dapat sentiasa memberi galakan dan sokongan. Ingatkan para isteri ini agar memanfaatkan setiap pertemuan untuk meneguhkan iman, menambah kefahaman Islam serta mengukuhkan ukhuwwah sesama para akhawat. Hasilan dari program ini moga menjadi kebaikan dan dorongan jihad bukan sahaja kepada akhawat, malah kepada ikhwan para suami serta seluruh isi keluarga.

Harapan dari naqibah agar usrah ini dijalankan bergilir-gilir rumah juga semoga dapat direalisasikan. Mana-mana yang berhajat untuk menginfaqkan kediamannya seketika untuk pertemuan mulia ini, harap dapat memaklumkan segera kepada ukhti penyelaras - Mak One kepada akhina Abu 'Azzam.

Abu Habeeb sedang merancang juga selepas ini untuk melaksanakan pula USRAH SYABAB untuk putera-puteri kita yang dikasihi, insyaALLAH. Doakan...

Saturday, April 5, 2008

sabar untuk berjaya



Sesuatu kejayaan yang diizinkan oleh Allah S.W.T. dibantu oleh banyak faktor. Selain usaha-usaha dengan kerja keras, perancangan, sokongan, do'a dan berbagai lagi; sabar dan tawakkal jangan dilupakan.

Sama seperti keinginan kita untuk sesuatu kerja serta segala usaha yang kita lakukan adalah ilham dan kehendak Allah S.W.T., begitulah kejayaan yang ingin dicapai dari penat lelah yang telah dicurahkan itu pun pastinya dari kehendak dan rahmatNya jua.

" ... kemudian apabila kamu telah berazam (membulatkan tekad), maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. " (Ayat 159 surah Aali 'Imran).

Kita telah punya azam untuk bekerja, kita telah membulatkan tekad untuk berjaya, malah kita juga telah sedaya upaya berusaha dan akan terus berikhtiar sebaik-baiknya. Apa yang harus kita lakukan lagi wahai ikhwanku sekelian, ialah meneguhkan kesabaran di samping sentiasa bertawakkal memohon rahmat dan kelebihan dariNya.

Moga dengan usaha dan kesabaran serta azam dan tawakkal para ikhwan, meyakinkan kita semua bahawa yang Allah Maha Pengasih dan Penyayang akan mengurniakan kepada kita kejayaan. Amin ya Rabbal 'alamin...

Tuesday, April 1, 2008

jelmakan ukhuwwah...!


" Dan sungguh kami akan menguji kamu dengan sedikit dari ketakutan dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. "

Ayat-ayat 155 - 157 dari surah al-Baqarah ini ditujukan untuk saudara Suhaimi, moga bersabar atas ujian Allah S.W.T. dan menerima ketentuanNya itu dengan tenang dan ridha.

Kepada para ikhwan, marilah menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai bantuan yang menunjukkan sokongan dan membuktikan persaudaraan kita dalam keluarga (usrah) G-hard ini. Sampaikan sumbangan ikhwan untuk dikumpulkan melalui saudara Abu Nawawi.

Jazakumullahu Khairal Jaza'...

bagaimana takwin kita wahai ikhwan...?


" Kita menghendaki dari saudara muslim yang benar agar menjadi muslim yang sejahtera aqidahnya, benar ibadahnya, teguh akhlaqnya, terdidik fikirannya, kuat badannya, yang mempunyai usaha, yang sanggup berdikari, yang sanggup berkorban untuk diri sendiri dan orang lain, sanggup memerangi hawa nafsu, yang menjaga waktu dengan sebaik-baiknya, berdisiplin dalam segala urusannya; dan lain-lain lagi nilai-nilai yang asasi dalam membentuk lelaki dakwah dan pendokong dakwah. "


al-Marhum al-Ustaz Mushtafa Masyhur : Thoriq ad-Da'wah