Tuesday, May 27, 2008

anak-anak kita = anak-anak Islam


Bukan sahaja anak-anak wajib mengasihi dan menghormati kita sebagai ibu bapa, malah kita juga mesti menyayangi dan menunaikan kewajipan kita terhadap mereka.

Anak-anak yang kita jaga, penuhi keperluan mereka kerana kasih sayang; begitulah kerana kasih sayang juga dan kerana Allah kita berusaha untuk mendidik dan membimbing mereka untuk hidup sebagai hambaNya.

Kita berkorban dengan segala usaha untuk memastikan masa depan mereka yang cerah, harapnya begitu jugalah keprihatinan kita untuk menjamin bahagianya mereka kelak di hadapan Allah S.W.T.

Semoga kita dapat memanfaatkan cuti persekolahan ini untuk sekurang-kurangnya juga memberikan lebih perhatian kepada penghayatan agama anak-anak kita. Dedahkan secara langsung atau tidak langsung kepada dakwah, perjuangan dan kecintaan terhadap Islam.

Siapa lagi yang akan lebih diharapkan untuk menyambung dan menyempurnakan dakwah kita ini? Jawabnya: tentulah anak-anak kita!

Monday, May 26, 2008

pesan guru : SUNNAH DAKWAH


Guru kami berpesan:

Firman Allah S.W.T. pada ayat 9 surah al-Qalam bermaksud: "Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak, lalu mereka akan bersikap lunak (pula kepadamu)".

FirmanNya lagi pada ayat 73 surah al-Israa' bermaksud: "Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu berbuat sesuatu yang lain secara bohong terhadap Kami. Dan jika sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu menjadi sahabat yang setia".

Guru kami juga mengingatkan:

Sesungguhnya musuh-musuh Allah dan para pendokong kebathilan tidak akan membiarkan dakwah Allah berjalan, membesar dan berkembang di kalangan manusia; sehingga ia menjadi kuat, teguh dan mampu menhapuskan mereka yang penuh dengan kesesatan dan kebathilan.

Sudah pasti mereka mesti melancarkan serangan ke atas dakwah Allah dan para pendokongnya dengan cara mendustakan, mempersenda-sendakan, menimbulkan keraguan dan menghalang manusia daripadanya. Sekiranya hujah-hujah dan logik mereka lemah, mereka akan bertindak kasar dan ganas. Mereka akan mengganggu, menyiksa, menindas dan melakukan tindakan yang sia-sia.

Memang benar kata Tuan Guru. Terima kasih mengingatkan kami untuk kami tabah dan teguh ketika sedang menghadapi ujian pada jalan dakwah ini. Jazakumullahu 'anna khairal jaza' kepada guru kami al-Marhum al-Ustaz Mushtafa Masyhur (Jalan Dakwah)...

Wednesday, May 7, 2008

mutaassif jiddan...


Ribuan MAAF abuhabeeb pohonkan khususnya kepada para ikhwan yang dikasihi atas tertawaqqufnya blog ini selama hampir sebulan.

Projek Pertanian 1 kita memang memerlukan perhatian dan penumpuan. Alhamdulillah berkat sokongan, kerjasama & do'a para ikhwan, fasa kritikal hampir dilepasi dengan jayanya walaupun memang ada keperitan dan masalah yang terpaksa diharungi. Projek 2 pula sedang dalam persiapan awal untuk dimulakan.

Ditambah pula dengan undangan program-program Maulidur Rasul s.a.w. yang memenuhi ruang waktu yang masih terluang terutama di hujung-hujung minggu. Namun syukur program-program kuliah berjalan sebagaimana biasa (walaupun sedikit terjejas di pertengahan April), begitu juga iltizam yang masih teguh untuk bersama istiqomah dalam liqa' usrah mingguan yang kita cintai (pinjam istilah abu 'azzam) itu.

abuhabeeb yakin ikhwannya adalah saudara-saudara yang sangat memahami, walaupun memang perlu sekali lagi diharapkan MAAF.